Mengaku Bercinta Akhirnya.
Diana Danielle kini dengan yakin memberitahu bahawa memang sedang asyik mahsyuk bercinta dengan Farid Kamil
Untuk pertama kalinya, Diana tidak menafikan hubungan cintanya dengan aktor kacak tersebut meskipun berkali-kali menegaskan dia kurang gemar untuk bercerita mengenai hal peribadi berbanding kerjaya.
Alasan yang keluar dari mulutnya memang seperti yang dijangkakan. Tidak mahu kisah cintanya dijaja dan dicanang orang.
“Soal jodoh bahaya untuk dicanang. Bertambah tak manis apabila kita sebagai orang perempuan yang menjaja cerita itu ke sana ke mari sedangkan kita tidak tahu bagaimana penghujung kisah hubungan itu.
“Maksud saya sama ada kahwin ke tidak kahwin ke? Esok-esok kalau tak jadi kahwin, orang akan mengata dan senang untuk mereka kata ‘padan muka’. Nampak sangat saya ini macam perempuan murah.
“Kalau perkara itu terjadi sudah tentulah kita rasa malu bukan? Saya tidak mahu malu, jadi lebih baik saya kekal bersikap sederhana dalam hal ini.
“Lagipun sudah banyak yang saya pelajari daripada pengalaman cinta yang lepas,” katanya yang sebelum ini terpaksa menyembunyikan hubungan cintanya dengan jejaka kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
3 sebab pilih Farid
Ketika rancak bercerita mengenai kekasih hatinya, dia yang tidak lekang dengan senyuman sempat ditanya bagaimanakah boleh jatuh cinta dengan Farid Kamil?
Intonasi suaranya penuh kejujuran. Kata Diana, ada tiga perkara yang menjadikan Farid begitu istimewa.
“Pada saya, Farid lelaki yang bijak. Yang keduanya, dia seorang yang ‘sempoi’. Saya selesa berada dengannya.
“Bukan itu sahaja, selama kami bersama, saya dapati dia juga seorang yang tidak suka mengambil hal yang remeh lalu menukarkan ia kepada sesuatu yang serius. Tak susah hendak memahami dia, dia seorang yang tak suka merumitkan sesuatu perkara.
“Lagi satu, dia seorang yang kuat bekerja dan berdedikasi dalam setiap apa jua yang dibuat. Kebetulan pula saya memang suka lelaki yang kuat bekerja,” katanya sambil menyuntik senyuman di bibir.
Adat bercinta dengan orang yang sama dalam industri, Diana sebenarnya tidak terlepas daripada pandangan dan sasaran mata-mata mereka yang teruja menanti apa seterusnya yang akan berlaku dalam hubungan pasangan sama padan itu.
Justeru tatkala diaju soalan sama ada dia sudah bersedia untuk menukarkan status bujang dan melalui gerbang perkahwinan, pantas sahaja mulutnya berkata, tidak sama sekali.
“Belum masanya lagi. Tak mungkinlah saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Lagipun saya masih muda, banyak lagi perjalanan yang perlu saya lalui dan tempuh,” ujar pelakon utama filem Magika ini.
Dimomok dengan sejarah hitam ketika bersama dengan kekasih lama, Syamsul Yusuf yang dikatakan telah menyebabkan dia berada dalam tekanan (dek insiden pukul), riak wajahnya Diana bertukar tiba-tiba.
Dalam nada tegas, si manis ini memberitahu dia tidak akan ‘memberi muka’ kepada mana-mana lelaki yang cuba mencuit kulitnya sedikit pun.
“Kalau dia (teman lelaki) berani buat begitu, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan. Bukan apa, setelah apa yang saya lalui sebelum ini, tak mungkinlah saya mahu membiarkan perkara itu berlaku lagi.
“Pengalaman seorang teman baik yang pernah diperlakukan begitu satu ketika dahulu juga banyak memberi pengajaran buat saya,” katanya.
Namun begitu, dalam masa yang sama, graduan Universiti Nottingham, Semenyih, Selangor jurusan Biosains ini percaya setiap individu mempunyai sifat yang berbeza.
Malah, dia menaruh keyakinan bahawa Farid bukanlah dari kategori lelaki yang sanggup bertindak kasar terhadap golongan wanita.